Saturday, May 3, 2014

LARANGAN MENGARAHKAN SENJATA KEPADA SESAMA MUSLIM

حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، عَنْ مَعْمَرٍ، عَنْ هَمَّامٍ، سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " لاَ يُشِيرُ أَحَدُكُمْ عَلَى أَخِيهِ بِالسِّلاَحِ، فَإِنَّهُ لاَ يَدْرِي لَعَلَّ الشَّيْطَانَ يَنْزِعُ فِي يَدِهِ، فَيَقَعُ فِي حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ ". 

MAKSUDNYA:
Muhammad telah menceritakan kepada kami, Abdul al-Razzaq telah mengkhabarkan kepada kami, daripada Ma’mar, daripada Hammam, aku mendengar Abu Huraira daripada Nabi SAW bersabda : “Janganlah seseorang mengarahkan senjatanya kepada saudaranya sesama muslim, kerana dia tidak tahu syaitan akan mempengaruhinya sehingga dia akan membunuh saudaranya itu, lalu dia akan masuk neraka.”

KETERANGAN HADITH :
1. Menurut al-Tin, maksud perkataan yanzi’uhuu adalah mencabutnyaa dari tangan orang itu dan menghalakan kepada saudaranya, atau dia mendorong tangannya agar menimpa saudaranya.
2. Menurut Imam al-Nawawi, sekiranya menggunakan huruf ain, maka maksudnya di sini ialah melemparkannya di tangannya serta menjadikannya tepat pada sasaran. 
3. Dalam hadith ini terdapat larangan melakukan sesuatu yang dapat mendorong seseorang kepada perbuatan terlarang meskipun larangan itu belum pasti dilakukan, baik dia bersungguh-sungguh atau pun hanya bergurau.
4. Sebagaimana yang disebut dalam hadith Abu Hurairah yang bermaksud “Para malaikat melaknat salah seorang kamu jika menunjuk ke arah orang yang lain dengan besi tajam meskipun itu adalah saudaranya sebapa dan seibu.”
5. Oleh itu, kita dilarang untuk bermain-main dengan alat yang tajam walaupun tanpa sebarang niat yang jahat kerana dikhuatiri akan terdorong dengan bisikan syaitan. 

PENGAJARAN HADITH :
1. Kita ditegah untuk menyakiti sesama muslim yang lain dalam pelbagai aspek sekalipun dan dengan cara apa pun.
2. Pengharaman memerangi orang muslim dan membunuhnya serta ancaman keras tentangnya.

(Ibnu Hajar al-Asqalani, 2009, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 7. Halaman 72-80.)

No comments:

Post a Comment